KEPALA BATAS: Melihat kepada kepetahannya bercerita mengenai kelebihan produk makanan yang dihasilkan serta bagaimana dipasarkan, pastinya tiada siapa menyangka wanita ini adalah seorang bekas graduan jurusan seni bina.
Malah Rahayu Usop, 38, yang pada mulanya bercita-cita menjadi seorang arkitek pernah bekerja sebagai pelukis pelan selama hampir dua tahun sebelum bertekad memulakan perniagaan martabak bersama suaminya, Megat Ardy Megat Aziz, 42, kira-kira empat tahun lalu.
Bermula dengan mengeluarkan produk martabak sejuk beku serta beberapa produk lain seperti karipap di bawah syarikat I-On Enterprise, pasangan tersebut kini berbangga apabila impian mereka membuka sebuah restoran berkonsepkan makanan segera iaitu Murtabak Mix’z Up akhirnya tercapai lebih dua bulan lalu.
“Saya belajar membuat martabak yang diadun dengan resipi istimewa ini daripada ibu mentua yang berpengalaman luas dalam penyediaan makanan tersebut sebelum ini.
“Alhamdulillah, daripada tidak tahu apa-apa (mengenai penghasilan martabak) saya terus belajar dan berusaha meningkatkan kemahiran diri hingga sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Menurut Rahayu, buat masa ini, I-On Enterprise memfokuskan pengeluaran lima jenis martabak iaitu martabak keju lava ayam, keju lava daging, lava ayam, lava daging serta martabak dengan kepingan daging kambing.
Dari segi pemasaran pula, katanya, produk tersebut bukan sahaja menguasai pasaran domestik dan setempat malah berjaya menembusi beberapa pasar raya utama seperti Mydin dan Tesco di seluruh negara sejak 2019.
Katanya, dengan purata pengeluaran antara 2,000 hingga 2,500 sebiji sehari, produk itu dijual bermula pada harga RM10.90 hingga RM12.90 untuk satu pek mengandungi dua biji martabak yang turut dibungkus secara premium. – UTUSAN ONLINE