Pelawaan pasang khidmat selular awam Jendela Fasa 1 - Utusan Malaysia

Pelawaan pasang khidmat selular awam Jendela Fasa 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempelawa pemegang lesen yang berminat untuk menyertai inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pelawaan disemak semula tersebut sebagai menggantikan pelawaan asal dikeluarkan pada 20 November tahun lalu untuk dimohon pihak terbabit di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Inisiatif ini melibatkan pemasangan kemudahan rangkaian dan penggunaan perkhidmatan rangkaian untuk penyediaan perkhidmatan selular awam,” kata kenyataan itu.

SKMM turut memaklumkan, pelawaan tersebut untuk memenuhi Sasaran Perkhidmatan Sejagat ditetapkan di bawah Jendela Fasa 1 yang bermula pada 15 Januari.

Ia merangkumi skop kerja dibahagi dua bahagian dengan bahagian pertama merangkumi pemasangan infrastruktur pasif manakala bahagian kedua pula pemasangan prasarana aktif.

Katanya, pemegang lesen yang berminat boleh memilih sama ada terlibat dalam bahagian pertama atau kedua dengan skop kerja dan kriteria kelayakan yang turut disemak semula.

“Usaha tersebut dibuat bertujuan mempercepat pelaksanaan inisiatif Jendela dan bakal membolehkan lebih banyak pemegang lesen mengambil bahagian,” kata kenyataan itu.

Menerusi Fasa 1, SKMM menyasarkan liputan perkhidmatan selular awam lebih luas merangkumi sebanyak 1,661 lokasi di sejumlah 106 kluster kawasan seluruh negara.

Tarikh tutup pendaftaran permohonan ialah pada 2 Februari ini dan penyerahan akhir Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat oleh pihak pemegang lesen itu ditetapkan menjelang 31 Mac ini.

Jendela dirangka SKMM untuk memberi liputan luas dan pengalaman kualiti jalur lebar lebih baik untuk rakyat sebagai langkah siap siaga negara beralih kepada teknologi komunikasi 5G.

Pelbagai inisiatif bakal diwujudkan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan telekomunikasi mampan dengan sasaran akan dicapai menjelang 2022, sejajar Rancangan Malaysia Ke-12. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya