Pelajar tidak perlu saring Covid-19  - Utusan Malaysia

Pelajar tidak perlu saring Covid-19 

Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong di Shah Alam, Selangor diperiksa suhu badan semasa hadir ke sekolah pada 20 Januari 2020.- UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ujian saringan Covid-19 tidak akan dilaksanakan kepada setiap orang atau  pelajar yang kembali ke sekolah. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebaliknya ujian saringan itu hanya dijalankan secara bertumpu jika terdapat kes positif dan kontak rapat.

“Kita tidak menjalankan saringan kepada semua warganegara atau mereka yang kembali ke sekolah,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan sedang meningkatkan keupayaan 68 makmal ujian saringan Covid-19 kaedah Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)  di semenanjung  dan enam makmal di Sabah sehingga 100,000 ujian berbanding 70,000 ujian pada masa ini.

Beliau berkata, ini termasuk menempatkan makmal di hospital-hospital lain di Sabah seperti yang  dilaksanakan di Lahad Datu dan Tawau.

 Menurut beliau, perancangan Kementerian Kesihatan  juga akan melibatkan kerjasama dengan hospital swasta, hospital universiti dan hospital Angkatan Tentera selain Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Pada mulanya kita hanya ada 23 makmal untuk ujian RTPCR, dan hari ini kita telah tingkatkan keupayaan 68 makmal dengan jangkaan 100,000 ujian selain menambah kaedah saringan menggunakan RTK-Ag untuk mengesan kes positif,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, sebarang perhimpunan seperti upacara pengebumian atau perkahwinan berpotensi untuk dijangkiti Covid-19 jika ada dalam kalangan hadirin yang  positif.

Namun, beliau sedar upacara pengebumian adalah isu sensitif dan emosi apabila melibatkan agama dan budaya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mencadangkan kehadiran upacara berkenaan dihadkan kepada 20 orang. 

“Sebarang perhimpunan perlu mendapatkan kebenaran polis dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN