PDRM dalam usaha kesan penjenayah buruan ‘Broken Tooth’ - Utusan Malaysia

PDRM dalam usaha kesan penjenayah buruan ‘Broken Tooth’

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan dan menangkap penjenayah buruan dari China, Wan Kuok Koi sekiranya benar lelaki itu bersembunyi serta menjalankan operasi di negara ini.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, penjenayah buruan berusia 65 tahun yang lebih dikenali dengan nama Broken Tooth itu pernah berada di negara ini pada tahun 2019 hingga tahun lalu atas urusan perniagaan.

Kata beliau, selepas satu laporan polis dibuat terhadap lelaki itu atas jenayah penipuan bernilai RM6 juta, dia terus menghilangkan diri.

“Setakat ini semakan rekod imigresen mengesan penjenayah itu keluar dari negara ini ke Hong Kong pada 18 Mac tahun lalu namun gagal mengesan kedudukannya di sini sekarang. Jika benar dia meneruskan kegiatannya di Malaysia, kita akan buru dan tangkap.

“PDRM juga dalam proses untuk menyenaraikan nama penjenayah buruan itu dalam red notice Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai laporan The Straits Times Singapura yang mendakwa Kuok Koi bersembunyi dan menjalankan operasinya di negara ini.

Penjenayah buruan itu sebelum ini menjalani hukuman penjara 14 tahun di Macau setelah disabitkan kesalahan ah long, pengubahan wang haram dan mengetuai kumpulan penjenayah sebelum dibebaskan pada 2012.

Sumber turut memberitahu akhbar berkenaan bahawa satu laporan polis difailkan terhadap Kuok Koi pada September tahun lalu setelah dia gagal memindahkan saham Inix Technologies Holdings, sebuah syarikat tersenarai, kepada pihak ketiga seperti yang dipersetujui sebelum itu.

Amerika Syarikat (AS) menyenaraihitamkan lelaki itu seterusnya mendakwa Kuok Koi mengetuai kumpulan kongsi gelap 14K dan terlibat dalam pengedaran dadah, perjudian haram, pemerasan, pemerdagangan manusia serta kegiatan jenayah lain.

Bulan lalu, Reuters melaporkan Perbendaharaan AS mendakwa Kuok Koi memperluas kegiatannya ke seluruh Asia Tenggara susulan inisiatif infrastruktur ‘Belt and Road’ China. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya