PdPR: Anak berebut telefon bimbit ibu - Utusan Malaysia

PdPR: Anak berebut telefon bimbit ibu

MD. Nayan Salleh (kanan) bersama keluarga yang menerima sumbangan gajet untuk anak mereka mengikuti pembelajaran atas talian di Kampung Parit Abas, Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS PARIT BUNTAR 24 JANUARI 2021: Ketua Bersatu Parit Buntar, Md. Nayan Salleh (kanan) bersama keluarga yang menerima sumbangan gajet untuk anak mereka mengikuti pembelajaran atas talian di Kampung Parit Abas, Parit Buntar hari ini. - PEMBERITA dan GAMBAR: WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Kerana tiada gajet sendiri, dua beradik terpaksa berebut menggunakan telefon pintar milik ibu mereka untuk mengikuti pembelajaran melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Itu yang dialami seorang wanita, Norazian Mohd. Aini 39, yang tidak mampu menyediakan kemudahan telefon bimbit untuk anak-anaknya setiap seorang, menyebabkan dua anaknya yang masih bersekolah rendah berebut mengunakan telefon bimbit miliknya.

Menurutnya, dia ada keinginan untuk menyediakan telefon pintar untuk anak-anaknya bagi memudahkan mereka mengikuti kelas secara atas talian namun tidak mampu disebabkan suaminya hilang pekerja akibat wabak Covid-19.

“Suami saya bekerja sebagai tukang masak di atas kapal namun pada September lalu dia terpaksa berhenti kerja kerana Covid-19.

“Anak saya di Tahun 6 dan Tahun 5 berkongsi telefon bagi mengikuti kelas atas talian, sudahlah begitu capaian internet di kawasan ini terlalu lemah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Parit Abas di sini hari ini.

Seorang lagi wanita, Norasiah Rasid 41, berkata, dia tidak mampu menyediakan telefon bimbit untuk anak lelakinya yang belajar di Tingkatan Satu mengikuti PdPR kerana tiada pendapatan tetap.

Menurutnya, dia hanya bekerja di kampung dengan mengambil upah mencucuk satay dengan upah RM10 hingga RM15 sahaja.

“Sebagai ibu sudah tentu saya mahu memberikan kemudahan untuk anak saya belajar tapi saya tidak mampu” katanya.

Dua wanita berkenaan merupakan penerima gajet untuk anak mereka mengikuti PdPR yang disumbangkan oleh Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Parit Buntar.

Ketua Bersatu Parit Buntar, Md. Nayan Salleh berkata, kira-kira 4,000 murid dan pelajar dari kalangan keluarga golongan daif di daerah ini dikenal pasti memerlukan gajet termasuk telefon pintar untuk mengikuti pembelajaran melalui PdPR.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha dalam mencari dana sumbangan dari berbagai pihak dalam menyediakan peralatan gajet yang diperlukan oleh murid dan pelajar dari golongan asnaf.

“Namun kemampuan kami amat terbatas dan hanya mampu dalam menyediakan bantuan ini kepada keluarga yang benar-benar dalam golongan asnaf yang amat memerlukan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan individu atau syarikat swasta termasuk pihak kerajaan untuk membantu murid-murid serta pelajar golongan asnaf di kawasan ini agar mereka semuanya tidak terjejas dalam mengikuti PdPR.

“Mereka yang mahu menderma bagi membantu murid dan pelajar golongan asnaf ini boleh terus menghubungi saya di talian 016-4140033 supaya saya boleh memberi senarai nama mereka yang amat memerlukan kemudahan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya