IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor di sini semalam, diteruskan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang ketika hujan lebat itu, Ahmad Amin Ismail, 58, dikatakan terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan setelah motosikal Yamaha Ego S yang ditunggangnya terbabas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azmi Osman berkata, pihaknya memberi tumpuan pencarian di dua kawasan perangkap sampah yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.
Katanya, dalam operasi tersebut, kaedah pemunggahan turut dilakukan di sepanjang tebing Sungai Klebang yang dipenuhi pokok dan semak tebal.
“Pasukan bomba menerima maklumat kejadian pada pukul 7.39 petang semalam yang memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam longkang dengan kedalaman hampir dua meter.
“Ketika kejadian, paras air longkang tersebut tinggi dan deras dengan mangsa dipercayai dihanyutkan arus,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Azmi, seramai 16 anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh digerakkan ke lokasi kejadian bagi mencari mangsa dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dari Kuala Lumpur.
Katanya, anggota dari BBP Pasir Puteh juga diminta menyusur sepanjang Sungai Kinta bagi mencari mangsa.
“Pemerhatian hari ini mendapati keadaan air sungai cetek dan kita percaya mangsa tiada di laluan sepanjang longkang dan dibawa arus lebih jauh.
“Oleh itu, operasi ditumpukan kepada dua perangkap sampah dengan radius pencarian diperluas sehingga 10 kilometer sehingga ke Sungai Kinta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian motosikal terbabas di mana penunggangnya terjatuh ke dalam longkang.
Katanya, motosikal mangsa dijumpai di tepi longkang berkenaan.
“Anggota polis dan bomba menyusuri sepanjang longkang laluan air dari Jalan Kuala Kangsar sehingga ke Taman Bertuah.
“Sejak semalam, operasi SAR disertai 60 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM Perak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rukun Tetangga dan Unit Amal,” katanya. – UTUSAN ONLINE