KEPALA BATAS: “Kalau boleh, saya mahu semua orang merasa bagaimana memakai pakaian daripada kain yang mahal pada harga yang murah.”
Itu impian Mohamad Yusoff Shaikh Ismail, 42, ketika mula-mula menubuhkan syarikat berasaskan pencetakan dan sulaman baju serta cenderamata, Mysis Trading kira-kira 20 tahun lalu.
Lulusan grafik dari sebuah kolej swasta itu berkata, ketika ini, impian tersebut masih menyala apabila dia tetap menjual produk berkualiti pada harga mampu milik.
Mengakui perniagaannya juga terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohamad Yusoff tetap bersyukur kerana jualan produknya masih berjalan walaupun agak perlahan dan sentiasa cuba memperkenal inisiatif baharu bagi meminimumkan kerugian.
“Saya sebenarnya mengkhususkan kepada menjual produk sublimation (kaedah cetakan popular yang menggunakan haba) dengan menggunakan mesin khas selain beberapa produk cenderamata.
“Cuma mulai tahun ini saya mula menambah produk dengan menjual kelengkapan sekolah termasuk pakaian dan alat tulis jenama Canggih,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kedainya di Pokok Sena, di sini, baru-baru ini.
Mohamad Yusoff berkata, nasibnya agak kurang baik apabila sesi persekolahan tahun ini tidak dapat dimulakan seperti biasa gara-gara pandemik Covid-19 sehingga banyak pakaian sekolah di kedainya tidak terjual seperti biasa.
Mujurlah, katanya, pejabat Ahli Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor bersetuju bekerjasama dengannya menerusi pengagihan baucar bantuan kelengkapan persekolahan yang boleh diguna pakai di kedainya.
“Alhamdulillah, sejak kerjasama itu dijalankan, lebih 70 peratus daripada stok barangan saya terutama pakaian sekolah terjual,” katanya yang memiliki lima pekerja tetap serta beberapa pekerja sambilan termasuk dua orang kurang upaya (OKU). – UTUSAN