Murid hidap kanser cekal ikuti PdPR - Utusan Malaysia

Murid hidap kanser cekal ikuti PdPR

PUTRA Airil Asraq Mohd. Aqimie sedang mengikuti PdPR sambil dipantau ibunya di rumah mereka di Kedai Mulong, Kota Bharu semalam. - UTUSAN/ROHANA MOHD NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas menjalani 16 kali rawatan kemoterapi bagi mematikan sel kanser pada dirinya, badan Putra Airil Asraq Mohd. Aqimie, 8, menjadi semakin lesu dan lemah selain beratnya menyusut sehingga seberat 17 kilogram sahaja sekarang.

Semangat murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong itu bagaimanapun tidak ‘menyusut’, malah tetap berkobar-kobar mahu meneruskan persekolahan biarpun secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Malah jika dilihat pada raut wajahnya tidak pernah lekang dengan senyuman, ramai yang tidak dapat membayangkan derita perlu ditanggung kanak-kanak berkenaan.

Putra Airil Asraq disahkan menghidap kanser hati tahap tiga pada Oktober tahun lalu dan kini terlantar serta hanya mampu mengengsot sendiri jika ibunya, Nurul Asyikin Razak, 32, tiada di sisi.

Nurul Asyikin berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu hanya sempat bersekolah dua bulan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

“Walaupun kini hanya perlu mengikuti PdPR di rumah, saya tidak pernah memaksanya, lagipun guru-guru juga memahami situasi serta kesihatan anak saya ketika ini.

“Setiap kali dia berasa sihat dan mahu mengikuti PdPR, saya menemaninya sepanjang masa termasuk menunggunya menyiapkan tugasan sekolah sehingga selesai semua,” katanya ketika ditemui pemberita rumahnya di Kampung Kedai Mulong, di sini semalam.

Nurul Asyikin berkata, Putra Airil Asraq perlu mengikuti rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian setiap tiga kali sebulan bagi mematikan sel kanser pada dirinya.

“Anak saya sebelum ini sudah disahkan bebas daripada kanser hati tahap dua pada 2017, namun pada tahun lalu saya tidak menyangka perubahan pada dirinya yang sering mengadu sakit pada bahagian sendi adalah petanda sel kanser kembali menyerang,” katanya.

Katanya, selepas Putra Airil Asraq disahkan menghidap kanser sekali lagi pada Oktober tahun lalu, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jururawat di sebuah klinik swasta untuk memberi sepenuh perhatian kepada anaknya.

“Kami lima beranak kini bergantung hidup dengan pendapatan suami Mohd. Aqimie Zulkifli, 37 sebagai mekanik. Setiap bulan, sebanyak RM1,000 dibelanjakan untuk keperluan Putra Airil Asraq termasuk lampin pakai buang, kos ke hospital selain susu khas berharga RM54 setin yang hanya mampu bertahan untuk tempoh dua hari,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 1531 0416 0186 atas nama Nurul Asyikin Razak atau boleh menghubunginya di talian 018-9097070. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN