PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enggan mengulas lanjut berkenaan hubungan dengan UMNO.
Beliau yang tampil di hadapan media kira-kira 11.55 malam tadi berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.
“Setiausaha Agung akan keluarkan kenyataan.
“Kita bincangkan banyak perkara,” katanya sambil berlalu pergi meninggalkan ibu pejabat Bersatu di Yayasan Selangor, di sini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi (MPT).
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mesyuarat itu lebih banyak membincangkan soal kebajikan rakyat.
“Kita bincang kepentingan rakyat, jangkitan Covid-19, masalah banjir dan sebagainya jadi kita akan turun padang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Armada, Senator Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal pula berkata, suasana mesyuarat berada dalam keadaan baik meskipun berdepan dengan ketegangan politik.
“Kita akan keluarkan kenyataan rasmi parti esok (hari ini), insya-Allah. Alhamdulillah, (keadaan) ‘good mood’,'” katanya merujuk kepada mesyuarat MPT Bersatu.
Ahli MPT lain seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Zuraida Kamaruddin juga enggan mengulas mengenai mesyuarat tersebut.
Situasi yang sama berlaku di Menara Dato Onn apabila UMNO membatalkan sidang media, sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan rasmi.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, partinya membuat keputusan untuk membawa usul-usul seperti hubungan dengan Pas, memutuskan hubungan dengan Bersatu dan menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 ke Perhimpunan Agung yang akan berlangsung pada 31 Januari ini.
Namun, semua ahli MPT Bersatu termasuk Muhyiddin enggan mengesahkan sama ada mesyuarat tersebut ada menyentuh isu politik, terutamanya yang berkaitan dengan hubungan antara UMNO dan Bersatu. – UTUSAN ONLINE