Mogesh disenarai 20 finalis Anugerah Belia Komanwel 2021 - Utusan Malaysia

Mogesh disenarai 20 finalis Anugerah Belia Komanwel 2021

MOGESH SABABATHY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengasas bersama Project Ocean Hope, Mogesh Sababathy mengharumkan Malaysia apabila disenaraikan dalam 20 peserta akhir untuk Anugerah Belia Komanwel 2021.

Menurut kenyataan Sekretariat Komanwel di London, Britain, graduan Biologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dipilih dalam kalangan 1,000 penyertaan meliputi 43 negara.

Mogesh, 24, akan bersaing sengit dalam senarai empat peserta terbaik mewakili rantau Asia selain Alina Alam dari India, Syed Ommer Amer (Pakistan) dan Faysal Islam (Bangladesh).

Pemilihan sukarelawan 1 Malaysia For Youth (1M4U), gerakan belia diasaskan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimansuhkan Pakatan Harapan pada 2018 itu, juga dibuat secara merit.

Sekretariat Komanwel berkata, Mogesh dipilih atas inisiatif beliau dalam kempen kesedaran pemuliharaan alam sekitar sejagat serta pelbagai topik yang berkaitan kelautan antarabangsa.

Project Ocean Hope diasaskannya dengan diselaras Fakulti Sains dan Alam Sekitar Marin UMT, sehingga kini berjaya melibatkan lebih 10,000 individu dari 15 buah negara seluruh dunia.

Pemegang tali pinggang warna hitam seni pertahanan diri taekwondo serta pernah aktif sebagai pembahas dan pengawas ketika zaman persekolahan itu juga aktif kerja kesukarelawan.

Pada 2015, Mogesh dipilih menjadi ahli Felo Muda Perpaduan Nasional bersama-sama 10 peserta lain oleh badan pemikir tempatan, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas).

Kenyataan Sekretariat Komanwel menambah, pemenang akan diumumkan dalam majlis khas yang julung kali dibuat secara maya susulan isu pandemik Covid-19 pada 10 Mac depan.

Untuk tahun ini, pencalonan dibuka pada 12 Ogos lalu dan para pemenang anugerah itu dibahagikan kepada lima rantau iaitu Afrika, Asia, Caribbean, Eropah dan Kanada serta Pasifik.

Kesemua 20 peserta akhir itu bakal menerima trofi, sijil dan wang tunai £1,000 (RM5,520) setiap orang, manakala pemenang peringkat rantau akan meraih tambahan hadiah wang tunai £3,000 (RM16,561).

Juara keseluruhan mendapat £5,000 (RM27,602). Calon anugerah tahunan berprestij itu terbuka kepada peserta berusia dari 15 tahun hingga 29 tahun melibatkan 54 negara anggota Komanwel.

Sejak diperkenalkan oleh Sekretariat Komanwel pada 2012, Malaysia langsung tidak pernah menang anugerah ini dan tahun lalu, ia dimenangi Galabuzi Brian Kakembo dari Uganda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya