Menteri ‘turun padang’ buat pemeriksaan pematuhan - Utusan Malaysia

Menteri ‘turun padang’ buat pemeriksaan pematuhan

ALEXANDER Nanta Linggi meninjau pemantauan SOP PKP di Kota Warisan, Salak Tinggi, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lazimnya, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) para peniaga.

Namun kelmarin Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula menyertai operasi itu bagi melihat sendiri tahap pematuhan aktiviti sektor perdagangan dan pengedaran domestik.

Beliau ‘turun padang’ meninjau sekitar Sepang, Selangor melibatkan Kompleks Beli-Belah Kipp Mall di Kota Warisan dan Giant Distribution Centre, Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini.

“Tujuannya bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kalangan pihak industri dan bekalan keperluan harian pengguna,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Tinjauan itu disertai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Penguat Kuasa kementerian, Azman Adam.

Alexander berkata, pihak kementerian diberi tanggungjawab menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit sejak 13 Mei tahun lalu menerusi dua kaedah tindakan.

Katanya, ini meliputi Pemeriksaan Khas (Harian) dan Operasi Bersepadu bersama agensi terlibat dalam Task Force Operasi Pematuhan PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan negeri dan daerah.

“Hasil pemeriksaan semalam mendapati dua premis ini mematuhi SOP malah sepanjang PKP dikuatkuasakan sehingga 16 Januari, sejumlah 321,850 premis lain telah diperiksa,” katanya.

Daripada jumlah itu kata Alexander, 477 premis menerima amaran untuk penambahbaikan segera, manakala 7,355 premis diberikan nasihat bagi pengekalan pematuhan secara konsisten.

Beliau menambah, kementerian itu juga menggariskan gerak kerja penguatkuasaan akta itu dengan menetapkan kompaun RM1,000 jika berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP ketika PKP.

Situasi kedudukan harga dan bekalan barang pengguna turut diperiksa ketika lawatan susulan aduan minyak masak botol bersaiz lima kilogram di pasaran yang dikatakan dijual agak mahal.

Bagaimanapun katanya, Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak sejak 2016 hanya memberikan subsidi kepada produk itu dalam bentuk bungkusan polibeg satu kilogram sahaja.

“Pada masa ini, sebanyak 60,000 tan minyak masak yang bersubsidi disediakan setiap bulan di seluruh negara dan jumlah itu adalah mencukupi bagi kegunaan rakyat,” tegas Alexander.

Malahan kementerian ujar beliau, komited memastikan setiap barangan di setiap rantaian bekalan dengan enam notis sudah dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011

Justeru kata Alexander, peniaga yang didapati cuba mengambil kesempatan dengan sengaja menaikkan harga produk minyak masak boleh diambil tindakan tegas di bawah akta tersebut.

Beliau berharap semua pihak sama ada pemain industri dan pengguna memainkan peranan mematuhi SOP bagi elak jangkitan wabak Covid-19 serta melancarkan sektor aktiviti ekonomi.

Ini katanya, dapat memberi keyakinan kepada rakyat dan penyeliaan berterusan memastikan tiada ambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan dalam tempoh sukar pada ketika ini.

“Kami di kementerian ini terus konsisten mengawal selia perdagangan dan pengedaran demi memastikan rangkaian pemborongan dan peruncitan tidak terjejas di pasaran,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya