MB kesal larangan kakitangan Kemta Taiping masuk premis perniagaan - Utusan Malaysia

MB kesal larangan kakitangan Kemta Taiping masuk premis perniagaan

SAARANI Mohamad (dua dari kanan) meninjau barisan hadapan yang bertugas di SJR Tol Changkat Jering, Taiping, Perak, hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Tindakan beberapa premis perniagaan di bandar ini memasang pelekat kenyataan yang melarang kakitangan Pusat Koreksional Kamunting (Kemta) Taiping, di sini masuk ke premis mereka sangat dikesali.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu berlaku kerana persepsi yang salah terhadap petugas barisan hadapan di Kemta Taiping berikutan kem tahanan tersebut pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat Covid-19.

Katanya, adalah tidak adil masyarakat berkecenderungan untuk berasa takut terhadap petugas di Kemta hanya disebabkan mereka pernah dikuarantin berikutan PKPD yang dilaksanakan di situ.

“Larangan kakitangan Kemta masuk ke premis perniagaan ini adalah satu hukuman yang salah dan penghinaan kepada mereka petugas barisan hadapan yang tidak bersalah.

“Mereka yang datang itu bukan positif Covid-19. Yang positif itu orang dalam penjara, yang keluar ini adalah petugas-petugas dari Kemta dan sebahagiannya telah menjalani tempoh kuarantin 14 atau 10 hari.

“Tetapi sebab mereka itu pernah ada dalam pusat kuarantin, maka ada kecendeungan orang ramai takut kepada mereka ini, jadi ini tidak adil,” katanya dalam sidang akhbar semasa melawat anggota barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Changkat Jering, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Saarani berkata, sepatutnya masyarakat berterima kasih kepada kakitangan Kemta sebagai petugas barisan hadapan menangani Covid-19 yang bertugas untuk kebaikan masyarakat.

Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat setempat terutama di Taiping tidak memberi persepsi salah kepada petugas barisan hadapan termasuk yang bertugas sebagai warden penjara atau petugas pusat kuarantin termasuk di kem tahanan.

“Sudah tentu mereka pun malu, segan kerana dicop sebagai orang yang tidak dialu-alukan, sedangkan mereka perlu keluar untuk membeli barangan keperluan untuk keluarganya.

“Kalau kita sendiri kena macam itu, apa perasaan kita?,” katanya.

PKPD pernah dilaksanakan di Kemta mulai 30 Disember hingga 12 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN