SEREMBAN: Satu mayat lelaki ditemukan di tebing Sungai Linggi kira-kira 15 meter dari jambatan di Taman Angsamas, dekat sini petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan, Mohd. Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.40 petang dan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba Seremban 2 menerima panggilan daripada pihak polis untuk bantuan khidmat khas bagi membantu pihak polis mengangkat satu mayat.
“Mayat lelaki dipercayai warganegara tempatan dalam lingkungan usia 40-an terdampar di tebing sungai tersebut dipercayai dibawa arus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Syazwan, pihaknya melakukan proses disinfeksi ke atas mayat tersebut dan anggota penyelamat.
“Mayat diserahkan kepada pihak forensik polis untuk tindakan selanjutnya. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.-UTUSAN ONLINE