Maritim Malaysia patahkan cubaan edar dadah bernilai RM160,000 - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia patahkan cubaan edar dadah bernilai RM160,000

AMRAN Daud (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sebuah bot fiber di perairan Teluk Gading Endau dekat Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan mengedarkan dadah dipercayai Methamphetamine dianggarkan bernilai RM160,000 dalam operasi khas di sekitar perairan Teluk Gading Endau, Rompin pada pukul 11.30 malam tadi. 

Pengarah Maritim Negeri, Datuk Amran Daud berkata, hasil koordinasi dan perkongsian maklumat risikan bersama Maritim Negeri Johor telah membawa kepada penahanan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke Pulau Tioman di kedudukan kira-kira 1,852 meter muara Sungai Endau, semalam.

“Sebaik sahaja menyedari kehadiran aset maritim, suspek bertindak memadam lampu bot supaya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun suspek berjaya meloloskan diri ke daratan berhampiran dengan meninggalkan bot fiber tersebut di tepi tebing. 

“Hasil pemeriksaan lanjut, bot fiber berukuran lima meter tersebut telah ditinggalkan dan terdapat satu tong putih yang mengandungi dua bungkus plastik lut sinar dan dua bungkus plastik teh  disyaki berisi dadah jenis Syabu (Methamphetamine) dianggarkan seberat empat kilogram.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah, bot fiber dan sebuah enjin sangkut 30 kuasa kuda dianggarkan bernilai RM182,000. Bot serta kesemua barang rampasan tersebut telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Tanjung Gemok, Rompin untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Pahang di sini hari ini. 

Amran berkata, dadah itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan di sekitar Pulau Tioman. 

Sindiket berkenaan jelasnya, dipercayai bergiat aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah menggunakan jalan laut, meskipun terpaksa mengharungi cuaca buruk dalam musim tengkujuh dan mengambil masa yang lama untuk ke Pulau Tioman dan sekitarnya berikutan permintaan yang tinggi. 

“Ini merupakan tangkapan pertama melibatkan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya bagi Maritim Malaysia Pahang pada tahun ini.

“Maritim Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya