Maqis rampas tomato seberat 21,160 kg - Utusan Malaysia

Maqis rampas tomato seberat 21,160 kg

SEBUAH kontena yang cuba menyeludup tomato segar ditahan di ICQS, Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk tomato segar tanpa mematuhi syarat import di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu, semalam.

Pengarah Maqis negeri, Lily Rosalind Paul berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena pada pukul 12.30 tengah hari itu, pegawainya menemukan tomato seberat 21,160 kilogram yang dianggarkan bernilai RM21,160 yang cuba dibawa masuk ke negara ini.

“Kontena tersebut tidak mematuhi syarat import sepertimana ditetapkan iaitu gagal mematuhi Perakuan Pengredan, Pembungkusan dan Perlabelan sebagaimana dinyatakan dalam sijil 3P.

“Kesemua konsainan ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN