JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri menahan satu konsainan yang membawa keju dari New Zealand di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dekat sini semalam.
Pengarahnya, Nur Afifah A. Rahman berkata, pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai penguat kuasa Maqis mendapati keju seberat 2,080 kilogram itu tidak mempunyai sijil kesihatan sah dari negara asal.
Katanya, kesemua keju berkenaan yang dirampas pihaknya dianggarkan bernilai RM39,712.
“Semasa pegawai sedang menjalankan pemeriksaan di laluan lori, mereka mendapati keju seberat 2,080 kilogram yang tidak mempunyai sijil kesihatan sah diperlukan Maqis.
“Sehubungan itu, barangan dagangan berkenaan dirampas manakala pemandu berusia 39 tahun dilepaskan selepas keterangan diambil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Nur Afifah, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana tidak mematuhi syarat import.
“Jika sabit kesalahan, pihak bertanggungjawab boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Afifah turut menegaskan pihaknya komited menjalankan penguatkuasaan dan terus diperkasa di semua pintu masuk negara.
“Penguatkuasaan ini bertujuan memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. – UTUSAN ONLINE