BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri menyita tiga kontena berisi kira-kira 67 tan sekoi semasa pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini semalam.
Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, pemeriksaan rutin kira-kira pukul 5.15 petang itu mendapati produk dari Ukraine berkenaan tidak mematuhi syarat-syarat pada permit import.
Susulan itu, katanya, Maqis menahan tiga kontena mengandungi 3,120 guni berisi milet (sekoi) seberat 67,000 kilogram yang bernilai kira-kira RM390,881.09 bagi tindakan selanjutnya.
“Siasatan mendapati bahan itu diimport untuk dijadikan produk proses bagi makanan manusia serta dipasarkan di negara ini dan luar negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). – UTUSAN