KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini naik kepada 804 orang dalam tempoh hanya kira-kira 12 jam berbanding 138 mangsa yang direkodkan pukul 8 malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 8 pagi ini kesemua mangsa yang membabitkan 205 keluarga itu dipindahkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman dan Dungun
Katanya, kenaikan mendadak direkodkan di Kemaman selepas enam PPS dibuka bagi menempatkan keseluruhan 609 mangsa di daerah itu.
“PPS yang dibuka ialah di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, SK Teluk Kalung dan SK Kemasik.
“Di Dungun turut mencatatkan pertambahan mangsa menjadikan kesemua yang ditempatkan di tiga PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukur dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda menjadi 195 orang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Che Adam, ketika ini keadaan cuaca di seluruh negeri hujan renyai-renyai manakala sesekali lebat dan berangin terutama di kawasan pantai.
Terengganu dilanda banjir fasa kelima bermula semalam dengan daerah Kemaman antara yang diramalkan mengalami hujan sangat lebat susulan amaran cuaca bahaya dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia. – UTUSAN ONLINE