JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di negeri ini mencatatkan pertambahan membabitkan daerah Mersing menjadikan jumlah keseluruhan setakat 12 tengah hari adalah seramai 5,499 mangsa daripada 1,414 keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 14 mangsa berbanding 5,440 mangsa daripada 1,396 keluarga yang direkodkan pada pukul 8 pagi tadi.
Katanya, seramai 19 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan di daerah Mersing ke enam pusat pemindahan sementara PPS yang dibuka di daerah terbabit.
“Jumlah terkini mangsa banjir di Mersing adalah seramai 525 mangsa daripada 138 keluarga, meningkat berbanding 506 mangsa daripada 131 keluarga yang direkodkan pagi tadi.
“Bagi daerah Segamat, jumlahnya terkini mangsa banjir di sana ialah 107 mangsa daripada 30 keluarga, berkurangan setelah sebuah keluarga terdiri daripada lima orang meninggalkan PPS untuk pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di lima buah daerah lain yang turut terjejas seperti Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Batu Pahat tidak berubah.
Katanya, jumlah mangsa banjir tertinggi ialah di Kota Tinggi seramai 2,707 mangsa diikuti Kluang (1950), Johor Bahru (72) Batu Pahat (71) dan Pontian (67).
“Sehingga kini, PPS yang masih dibuka di negeri ini ialah sebanyak 52 tempat yang digunakan bagi menempatkan mangsa banjir daripada 88 buah kampung di negeri ini.
“Hanya tujuh laluan sahaja yang ditenggelami air setakat ini membabitkan daerah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya.
Di Kota Tinggi, jalan yang ditutup itu adalah laluan berhampiran RISDA di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Jalan Tun Habab di pusat bandar dan di Jambatan Sungai Semalok ditutup sepenuhnya manakala di Jambatan Semanggar hanya dibenarkan bagi kenderaan berat sahaja.
Di Mersing, laluan berhampiran stesen minyak Nitar 2 dan Simpang Tiga Kahang ke Kluang ditutup sepenuhnya manakala Jalan Haji Suhud, Taman Muhibbah, Johor Bahru masih tidak boleh digunakan akibat kejadian jambatan runtuh.
Bencana banjir yang memasuki hari kelima di negeri merekodkan tiga kematian setakat ini.- UTUSAN ONLINE