Mangsa banjir cecah 50,000 orang - Utusan Malaysia

Mangsa banjir cecah 50,000 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di beberapa negeri semakin buruk dengan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang dipindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam negeri menghampiri angka 50,000 orang.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir secara keseluruhan mencatatkan lebih 25,600 mangsa di 288 PPS di seluruh negeri dengan daerah Temerloh menunjukkan peningkatan drastik kepada lebih 10,920 orang pada pukul 5 petang semalam berbanding 6,000 kelmarin.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah tersebut melibatkan lebih 2,930 keluarga yang terjejas dari sekitar daerah itu dan kini ditempatkan di 80 buah PPS. Ia susulan trend paras air Sungai Pahang di daerah itu yang kini mencatat bacaan 34.6 meter berbanding 34.39 meter semalam dan melepasi paras bahaya 33 meter.

Untuk rekod, daerah lain iaitu Bera turut mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir dengan 1,304 orang melibatkan 347 keluarga berbanding 864 orang semalam, Maran (2,920 mangsa), Lipis (2,389 mangsa), Jerantut (1,900 mangsa) serta Kuantan (1,970 orang).

Pekan dan Raub masing-masing mencatat sekitar 1,840 mangsa dan Rompin kekal terendah seramai 637 orang setakat lewat petang semalam.

Di TERENGGANU, mangsa banjir mencatatkan peningkatan paling tinggi iaitu seramai 12,899 orang sepanjang melalui lima fasa bencana itu sejak 17 November lalu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA), Che Adam A. Rahman berkata, jumlah itu meningkat sehingga 3,577 orang berbanding 9,322 mangsa yang direkodkan pukul 6 petang kelmarin.

Beberapa daerah di negeri itu masih mencatatkan kes tertinggi dengan Kemaman seramai 11,065 mangsa membabitkan 2,719 keluarga, diikuti Dungun (1,574 mangsa), Hulu Terengganu (207 mangsa) dan Besut (53 mangsa).

“Keadaan cuaca masih mendung di samping hujan di beberapa kawasan, bagaimanapun, kita dimaklumkan paras sungai konsisten menunjukkan trend menurun di bahagian hulu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di enam jajahan negeri iaitu Kuala Krai (2,809 mangsa), Pasir Mas ((1,514 mangsa), Tanah Merah (508 mangsa), Gua Musang (236 mangsa) dan Jeli (72 mangsa) dan Kota Bharu (22 mangsa) secara keseluruhan meningkat kepada 5,161 orang daripada 1,410 keluarga.

Portal eBanjir.kelantan.gov.my merekodkan sebanyak 60 PPS dibuka di enam daerah terbabit bagi menempatkan mangsa banjir sementara empat daripada lima sungai utama di negeri ini melepasi paras bahaya dengan menunjukkan trend meningkat.

Paras air terkini Sungai Galas di Dabong adalah 38.28 meter manakala Sungai Lebir di Tualang (35.13 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai pula direkodkan 27.36meter, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (18.46 meter) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (5.67 meter).

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini mencecah 10.42 meter manakala Sungai Golok di Kuala Jambu (2.87 meter).

Di JOHOR, keadaan banjir di negeri ini dilihat bertambah baik apabila jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 1,259 mangsa daripada 324 keluarga setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, sehingga pukul 4 petang semalam, seramai 163 lagi mangsa banjir meninggalkan PPS untuk pulang ke kediaman masing-masing dan hanya tinggal 14 PPS yang masih beroperasi di lima buah daerah yang terjejas iaitu Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Segamat.

Katanya, daerah yang teruk ialah Kluang melibatkan 578 mangsa daripada 137 keluarga di lima PPS yang dibuka, daerah Mersing (335 mangsa daripada 89 keluarga di lima buah PPS.

“Sehingga kini, jumlah daerah yang telah pulih sepenuhnya daripada bencana ialah Pontian, Kulai dan Batu Pahat. Manakala, dua jalan juga masih ditutup iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing dan Jalan Haji Suhud di Taman Muhibbah, Johor Bahru,” katanya.

Di PERAK juga mencatatkan penurunan kepada 196 orang daripada 53 keluarga di PPS berbanding 359 orang kelmarin.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, sebuah PPS ditutup semalam iaitu di Dewan Serbaguna Chikus di Daerah Hilir Perak.

Menurutnya, kesemua mangsa kini ditempatkan di tiga buah PPS di tiga daerah.

“PPS di Dewan MPTI TeluK Intan di Hilir Perak menempatkan 171 orang, Dewan Orang Ramai Kampung Perah di Gerik 16 orang dan Dewan Orang Ramai Kampung Tanjung Air di Perak Tengah sembilan orang,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN