Malaysia mulakan tindakan undang-undang ke atas EU - Utusan Malaysia

Malaysia mulakan tindakan undang-undang ke atas EU

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia memulakan
tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) serta negara-negara anggotanya dengan memfailkan suatu permohonan konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung minyak sawit negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri susulan langkah-langkah yang dikenakan EU dan negara-negara anggota iaitu Perancis serta Lithuania berkaitan pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II).

Katanya, pelaksanaan EU RED II itu sekali gus memberi kesan kepada industri sawit negara.

“Malaysia melaksanakan pelbagai langkah termasuklah mengadakan Misi Ekonomi dan Teknikal ke Eropah selain memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan EU RED II.

“Namun, EU tetap meneruskan pelaksanaan EU RED II tersebut tanpa mengambil kira komitmen serta pandangan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Khairuddin, pelaksanaan EU RED II itu mengklasifikasikan minyak sawit sebagai suatu produk yang mempunyai kadar risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi.

Katanya, hal itu menyebabkan penggunaan minyak sawit sebagai bio bahan api di EU tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui dan seterusnya mewujudkan sekatan perdagangan yang tidak
wajar terhadap industri sawit negara.

Jelas beliau, tindakan EU itu juga adalah bertentangan dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang digariskan oleh WTO.

“Tindakan undang-undang ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam melindungi kepentingan industri sawit negara terhadap dasar yang dilaksanakan EU tersebut.

“Malaysia berharap supaya WTO melalui Badan Penyelesaian Pertikaian dapat meneliti dan memperhalusi hujah serta keterangan Malaysia secara adil dan saksama selaras dengan prinsip undang-undang WTO,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia memberi komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam proses itu khususnya dalam sesi konsultasi dan perbincangan bersama Panel WTO yang diadakan kelak.

Pada masa sama, katanya, negara terus menjadi pihak ketiga bagi tindakan undang-undang yang telah difailkan oleh Indonesia (Kes No. DS 593: European Union – Certain measures concerning palm oil and oil palm crop-based biofuels) melalui DSM di WTO.

“Penglibatan Malaysia ini adalah penting
sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap negara pengeluar sawit.

“Kerajaan Malaysia melalui kementerian ini akan terus memberikan komitmen tinggi dalam mempertahankan kepentingan industri sawit yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya