Majikan jangan sembunyi status kesihatan pekerja asing - Utusan Malaysia

Majikan jangan sembunyi status kesihatan pekerja asing

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua majikan digesa tidak menyembunyikan status kesihatan pekerja asing masing-masingsekiranya didapati positif Covid-19. 

Mengingatkan sedemikian, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia bagi membolehkan pengesanan awal pekerja asing yang positif Covid-19 sekali gus membendung penularan wabak terbabit kepada rakan sekerja yang lain.

Katanya, majikan perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing yang mereka gajikan susulan peningkatan kes positif yang melebihi 125,000 kes.

“Majikan juga perlu menyediakan pusat kuarantin untuk tujuan pengasingan pekerja asing mereka yang disahkan positif. 

“Selain itu, kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan itu turut dibiayai oleh majikan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Saravanan berkata, majikan juga disarankan untuk melakukan ujian saringan dalam kalangan pekerja asing. 

“Ia selaras dengan Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah – Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.9) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu,” katanya. 

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan kes positif baharu Covid-19 melonjak kepada angka 3,027 kes sekali gus merekodkan kes tertinggi wabak itu di negara ini.

Katanya, jumlah itu menjadikan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 128,465 dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan pula sebanyak 25, 221.

Bagaimanapun, menurut beliau, jumlah kes sembuh pula juga amat positif apabila mencatatkan sebanyak 2,145 kes manakala sebanyak lapan kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian setakat ini 521 kes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya