BUTTERWORTH: Seorang penganggur di di sini bukan sahaja tidak mendapat RM10,000 yang mahu dipinjamnya, bahkan kerugian RM18,960 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pinjaman tidak wujud semalam.
Mangsa seorang lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan mahu membuat pinjaman selepas melihat iklan sebuah syarikat yang kononnya menawarkan pinjaman wang berlesen dalam internet baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa kemudiannya menghubungi ejen syarikat terbabit secara dalam talian.
“Selepas berhubung dengan ejen itu menerusi dalam talian, mangsa dimaklumkan permohonannya sebanyak RM10,000 telah lulus.
“Bagaimanapun, dia diminta membuat bayaran pemprosesan terlebih dahulu sebelum wang itu dilepaskan pihak syarikat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa yang tidak mengesyaki telah ditipu mengikut arahan ejen berkenaan dengan memasukkan wang yang dipinjam daripada ahli keluarga dan rakan-rakan ke dalam akaun yang diberikan suspek secara berperingkat.
“Mangsa menyerahkan RM18,960 ke dalam satu akaun bank yang diberi menerusi beberapa transaksi, namun menyedari dia ditipu selepas ejen berkenaan gagal dihubungi,” katanya.
Menurut Noorzainy, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN