KEMAMAN: Perbezaan usia bukan halangan untuk lima murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pergam, di sini berkumpul setiap pagi bagi mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).
Mereka yang bersaudara dan tinggal berdekatan di Kampung Sungai Pergam lazimnya bersama-sama menyiapkan modul pembelajaran yang dibekalkan guru masing-masing di rumah John Lester Abdullah, 11.
Seorang murid tahun enam, Nor Asyikin Zalil, 12, berkata, masalah ketiadaan gajet yang dihadapinya sekurang-kurangnya dapat diatasi dengan menumpang kemudahan telefon pintar rakan-rakan bagi berhubung dengan guru.
Katanya, kedua-dua rakan sekelas iaitu Mohd. Shafiq Johari dan Adam Nordin masing-masing menggunakan gajet milik ibu bapa mereka.
“Setiap hari kami belajar subjek berlainan, kalau tidak faham apa yang perlu dibuat kami boleh bertanya terus dengan cikgu,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Nor Asyikin berkata, para guru turut menyediakan lembaran kertas kerja setiap hari Ahad di pondok pengawal sekolah di samping menghantar dari rumah ke rumah bagi memudahkan murid yang tidak memiliki gajet.
Katanya, pada peringkat permulaan, dia risau pelajarannya ketinggalan kerana ketiadaan gajet tetapi kaedah dilakukan pihak sekolah memberi kelegaan kepadanya.
“Walaupun kami diberikan modul secara bertulis tetapi cikgu sentiasa memantau kerja-kerja murid menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.
Sementara itu, John Lester lebih selesa belajar bersama rakan-rakannya termasuk dengan Puteri Amira Shafika Abdullah, 10, berbanding berseorangan dan tidak kisah walaupun berbeza darjah.
“Kalau bersendirian saya cepat bosan dan kebiasannya kami belajar di ruang tamu hingga tengah,” katanya. – UTUSAN ONLINE