Lelaki 'wanted' dipenjara, denda RM5,000 - Utusan Malaysia

Lelaki ‘wanted’ dipenjara, denda RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hanya kerana RM50, seorang pemandu teksi dihukum penjara sehari dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang anggota polis, tahun lalu.

Hakim Kamaruddin Kamsun turut memerintahkan hukuman penjara tersebut ditambah enam bulan sekiranya tertuduh, Beh Por Teik, 56, gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa memberi rasuah wang tunai RM50 kepada anggota polis cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Dang Wangi iaitu Lans Koperal Adam Mohd. AlHafiz kira-kira pukul 11 pagi, 16 September 2020 di Jalan Kuching di sini.

Rasuah tersebut adalah bagi dorongan agar anggota polis itu tidak menahannya atas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Taiping, Perak.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 214 yang memperuntukkan hukuman penjara satu perempat daripada 10 tahun (hukuman bagi kesalahan menipu) atau denda atau kedua-dua sekali.

Menurut fakta kes, Adam yang ketika sedang meronda bersama-sama Lans Koperal Mohd. Hazmee Hassan menahan teksi dipandu tertuduh dalam keadaan mencurigakan.

Selepas pemeriksaan dibuat, tertuduh didapati mempunyai tiga rekod kesalahan lampau yang mana salah satu daripadanya masih dalam kategori `wanted’ bagi siasatan kesalahan menipu. Por Teik kemudian mengeluarkan wang RM50 dan cuba memberikan kepada Adam sejurus selepas dimaklumkan dirinya akan ditahan.

Walaupun selepas dimaklumkan hukuman mengenai rasuah, tertuduh masih cuba menyogok anggota polis berkenaan dan kemudian bertindak mengambil tangan Adam dan meletakkan wang berkenaan di tangan peronda itu. Tertuduh kemudian ditahan.

Ketika mengemukakan rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dia dikenakan hukuman ringan kerana masih menanggung tiga anak yang mana salah seorangnya adalah orang kurang upaya.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Afiqah Ab. Razak memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya