KLANG: Seorang lelaki tidak sempat ‘menikmati’ hasil ragut apabila ditahan tidak sampai empat jam melakukan perbuatan itu terhadap seorang penuntut kolej swasta di Kampung Idaman, Pandamaran Jumaat lalu.
Malah, penahanan suspek berusia 21 tahun itu turut membongkar perbuatannya yang memajak telefon bimbit diragutnya kepada bapa saudaranya bagi meminjam wang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek terlibat dalam kes ragut beg tangan berisi seunit telefon bimbit jenis iPhone 7Plus penuntut sebuah kolej swasta berusia 18 tahun yang diletakkan dalam bakul motosikalnya kira-kira pukul 3 petang.
“Bertindak atas maklumat, kita mengesan suspek di rumahnya di sebuah pangsapuri di Pelabuhan Klang pada pukul 6.30 petang hari sama.
“Hasil siasatan membawa kepada penahanan bapa saudaranya berusia 43 tahun kira-kira 45 minit kemudian di Pandamaran. Kita turut merampas beberapa barangan termasuk lima unit telefon bimbit pelbagai jenis daripada kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shamsul Amar, siasatan mendapati suspek terlibat dalam tujuh kes ragut secara sendirian di sekitar Pandamaran sejak Oktober tahun lalu.
“Hasil ragut terutama telefon bimbit yang tidak boleh diakses diserahkan kepada bapa saudaranya yang dipercayai bersuhabat untuk meminjam wang. Selain itu suspek juga menjual hasil ragut di kedai pajak gadai.
“Kedua-dua suspek kini direman lima dan tujuh hari bermula 16 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,ujarnya. – UTUSAN ONLINE