SEREMBAN: Seorang lelaki mualaf maut selepas enam hari menerima rawatan di hospital akibat disimbah asid dalam kejadian dipercayai samun di rumahnya di Taman Pulai Impian, Sikamat di sini.
Menurut sumber, Bilik Gerakan Polis menerima maklumat kira-kira pukul 3.13 pagi pada 23 Januari lalu mengatakan mangsa berusia 43 tahun disimbah asid di bahagian muka, tangan, badan dan kaki oleh suspek yang tidak dikenali.
“Ketika kejadian, mangsa tidur di ruang tamu rumah manakala isterinya berada di bilik tingkat atas dan sedang mandi.
“Tiba-tiba isterinya terdengar bunyi jeritan mangsa meminta tolong dan bergegas turun bagi membantu mangsa serta menyiram air di bahagian terkena simbahan asid,” kata sumber tersebut.
Jelas sumber, isteri mangsa terjatuh ketika cuba membantu mangsa dan mengalami lecur di tangan kiri dan betis akibat terkena cecair asid yang berada di lantai.
“Difahamkan ketika kejadian, pintu pagar rumah berkunci namun beberapa barang berharga milik mangsa seperti telefon bimbit dan wang tunai RM500 hilang.
“Isteri mangsa menyesaki suspek tersebut mengambil barang milik mangsa,” katanya yang memberitahu mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mangsa meninggal dunia di hospital pada pukul 11 malam semalam selepas enam hari kejadian berlaku.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan melecur 30 peratus akibat terkena cecair dipercayai asid.
“Susulan kejadian itu, siasatan lanjut dijalankan dan polis menahan enam lelaki serta isteri mangsa dalam beberapa siri tangkapan,” katanya.
Kesemua suspek berusia antara 15 tahun hingga 41 tahun itu ditahan reman sehingga 2 Februari ini bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE