KAMPAR: Seorang lelaki yang sedang melakukan aktiviti berbasikal bersama rakannya maut akibat penyakit jantung di jalan besar berdekatan Jambatan Kampung Baru Kuala Dipang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, Azeril Sahaharuddin, 44, yang bekerja di Majlis Daerah Kampar itu ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan pada pukul 5.50 petang.
Katanya, mangsa sebelum itu bersama tiga rakan sekampungnya berbasikal dari Batu Karang ke Kampung Baru Kuala Dipang.
“Saksi yang bersama mangsa ketika kejadian memberitahu, setibanya di jambatan tersebut, lelaki itu dipercayai tidak dapat mengawal basikalnya lalu terjatuh dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.
Menurut Hasron Nazri, adik mangsa memaklumkan yang abangnya itu menghidap penyakit kencing manis dan gout sejak lima tahun lalu selain menjalani rawatan di Hospital Kampar sekali setiap bulan.
Katanya, adik mangsa juga memberitahu abangnya tidak mengalami Covid-19 termasuk ahli keluarganya dan tiada dalam Sistem E-Notifikasi serta Sistem E-Covid.
“Bedah siasat dijalankan dan mendapati tiada unsur jenayah ke atas mangsa dan punca kematian akibat penyakit jantung. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE