Lelaki maut terjatuh ke kawasan baik pulih jambatan - Utusan Malaysia

Lelaki maut terjatuh ke kawasan baik pulih jambatan

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang maut selepas terjatuh dari jambatan yang sedang dibaik pulih di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Tindakan seorang lelaki memasuki kawasan jambatan rosak yang sedang dilakukan kerja baik pulih membawa padah apabila mangsa maut terjatuh dari jambatan itu di Jalan Belimbing ke Jalan Sri Makmur di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, semasa kejadian pukul 10.30 malam, mangsa, Ng Eng Fui, 47, melintas jambatan berkenaan bagi menghantar barang runcit dipesan kawannya.

“Disebabkan jambatan rosak dan ditutup serta dalam proses baik pulih mangsa memohon kebenaran melalui kawasan itu dengan tanggungan risiko sendiri.

“Semasa melintasi semula jambatan mangsa masuk ke dalam kawasan larangan kerja-kerja baik pulih untuk melihat pekerja membuat kerja sebelum dia terjatuh ke dalam kawasan jambatan dengan ketinggian kira-kira lima meter,” katanya di sini hari ini.

Menurut Norzamri, mangsa cuba diselamatkan pekerja di situ tetapi dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya