TAPAH: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh babi hutan di Kilometer 59 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Rasidi Shamsuddin, 35, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Naza dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Bidor.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai melanggar seekor babi hutan dan terbabas.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE