BUTTERWORTH: Pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Nyior, di sini semalam dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki cuba meloloskan diri semasa dilarikan tiga suspek.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.38 petang itu, mangsa berusia 38 tahun dilihat berlari keluar daripada kenderaan jenis Proton Wira serta menjerit meminta tolong sambil dikejar dua suspek.
Bagaimanapun, mangsa ditangkap sebelum dimasukkan ke dalam kereta yang kemudiannya beredar menghala ke arah Jalan Siram dekat sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd. Noor berkata, orang awam yang berada di lokasi kejadian merakam gambar kejadian sebelum membuat laporan polis.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah D9 menahan ketiga-tiga suspek bersama mangsa di sebuah pangsapuri kos rendah di Mak Mandin pada pukul 11.30 malam hari yang sama.
“Mangsa yang ditemukan dalam keadaan diikat mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lebam akibat dipukul menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB).
“Hasil soal siasat mendapati, mangsa dilarikan dan dipukul kerana dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan isteri suspek utama selain meminjam wang wanita terbabit berjumlah RM2,300,” katanya dalam sidang media di IPD SPU, di sini hari ini.
Noorzainy berkata, sebelum kejadian, mangsa dibawa ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran untuk mengeluarkan wang bagi melunaskan hutang namun suspek utama yang berusia 40 tahun berang kerana mangsa hanya mempunyai RM23 di dalam akaun bank.
“Suspek utama yang baru dibebaskan dari penjara tiga bulan lalu juga bengang apabila mangsa turut menggunakan nama isterinya untuk membuat pinjaman ah long.
“Siasatan mendapati suspek yang memiliki 12 rekod kesalahan lampau adalah dalang kes ini manakala dua lagi suspek yang masing-masing berusia 25 tahun dan 24 tahun turut memiliki lima dan enam rekod kes jenayah.
“Polis turut merampas kereta yang digunakan untuk melarikan mangsa dan hasil ujian air kencing ketiga-tiga suspek dan mangsa didapati positif dadah,” katanya.
Ketiga-tiga suspek ditahan reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE