ALOR SETAR: Seorang lelaki Bangladesh dihukum penjara dua tahun dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan RM500 kepada anggota polis, minggu lalu.
Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Mosarof, 30, selepas tertuduh mengaku melakukan perbuatan tersebut.
Tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa melakukan perbuatan tersebut di Plaza Tol Lunas, Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) kira-kira pukul 3.30 petang, 20 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan kepada anggota polis, Koperal Muhammad Syazwan Ahmad Safiudin supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Dia ketika kejadian melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Sementara itu, mengikut fakta kes, tertuduh bersama seorang lagi individu dikenali sebagai Foysal dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lunas dekat sini sebelum teksi dinaiki mereka ditahan di ekatan jalan raya Ops Covid 19 di Plaza Tol Lunas, BKE.
Seorang anggota polis kemudian meminta kedua-dua mereka menunjukkan surat kebenaran rentas daerah dan negeri serta dokumen pengenalan diri, namun tertuduh hanya menyerahkan pasport dan gagal mengemukakan surat kebenaran tersebut.
Mereka kemudian diarahkan turun dari teksi dan di belakang kenderaan itu, tertuduh telah mengeluarkan wang dari poketnya dan menawarkan RM500 kepada anggota polis berkenaan.
Dia didakwa menawarkan rasuah tersebut sebanyak tiga kali dengan kali pertama tangannya ditepis anggota polis terbabit sambil memberi amaran bahawa perbuatannya itu salah.
Tertuduh seterusnya bertindak memegang tangan anggota polis terbabit dalam cubaan ketiga serta meletakkan wang dalam tangan Koperal Muhammad Syazwan hingga mengakibatkannya ditangkap.
Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim turut memerintahkan supaya tertuduh menjalani hukuman penjara setahun sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.
Tertuduh tidak membayar denda tersebut. – UTUSAN