Lelaki Bangladesh ketuai sindiket palsu dokumen  - Utusan Malaysia

Lelaki Bangladesh ketuai sindiket palsu dokumen 

PUTRAJAYA 12 JANUARI 2021 - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (dua kanan) menunjukkan kad Pendaftaran Personel Binaan CIDB palsu pada sidang akhbar mengenai penumpasan sindiket pemalsuan dokumen Imigresen di Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Putrajaya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : SUBKHI (UTUSAN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Taktik seorang lelaki warga Bangladesh menyewa dua buah unit apartmen dengan salah sebuah dijadikan markas memproses dokumen palsu imigresen terbongkar dalam satu serbuan di Cheras, Selangor, semalam. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek utama berusia 32 tahun itu dipercayai mengetuai sindiket pemalsuan dokumen imigresen yang ditumpaskan pada tahun 2017. 

Beliau berkata, pihaknya juga berjaya menangkap seorang lagi suspek berusia 25 tahun selain merampas wang tunai sebanyak RM8,300 dan 64 naskhah pasport palsu pelbagai negara. 

“Modus operandi sindiket  ialah menyewa dua buah apartmen berdekatan bertujuan mengelirukan pihak penguat kuasa dengan salah satu unit dijadikan sebagai kediaman manakala sebuah unit lain dijadikan sebagai markas untuk pemprosesan dokumen palsu imigresen. 

“Pasukan imigresen merampas 62 naskhah pasport Bangladesh, satu pasport Myanmar, satu naskah pasport Indonesia, lima ikatan kulit pasport pelbagai negara dan keping pelekat palsu Malpass tidak bercetak,” katanya pada sidang akhbar hari ini. 

Khairul Dzaimee berkata, suspek mendapat pelanggan dengan cara mengiklankan perkhidmatan  melalui aplikasi WhatsApp dan melalui orang tengah yang mengutip pasport serta bayaran. 

Menurutnya, bagi penghantaran pasport yang siap, suspek akan menyembunyikan dokumen tersebut di lokasi tertentu serta mengambil gambar tempat pasport disembunyikan sebelum dihantar kepada pemilik pasport untuk tujuan kutipan. 

Katanya, suspek mengenakan bayaran RM300 bagi sekeping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, RM20 sekeping bagi iKad dan Kad CIDB palsu dan RM150 bagi senaskah pasport palsu pelbagai negara. 

“Mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan ini Mac tahun lalu ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan dan mempoleh sekurang-kurangnya 150 pelanggan sehari yang terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya turut merampas 11 keping pelekat palsu Malpass bercetak, kad CIDB palsu bercetak, lima kotak Kad PU putih tidak bercetak, sebuah komputer peribadi, sebuah mesin pencetak pelekat dan sebuah mesin pencetak kad PU. 

“Turut dirampas  dua buah mesin emboss, sebuah mesin laminate, sebuah cap getah syarikat, enam kotak kad nama, serangkai kunci rumah dan pelbagai peralatan pemalsuan lain,” katanya. 

Beliau berkata, berdasarkan sejumlah besar pasport tulen negara asing yang dirampas, pihaknya yakin pemilik pasport berkenaan memasuki Malaysia secara sah. 

“Mereka bagaimanapun tidak keluar setelah pas tamat tempoh dan mendapatkan pas palsu bertujuan mengaburi mata penguat kuasa. 

“Ini adalah antara justifikasi yang menyebabkan Imigresen perlu memperketatkan kawalan di pintu masuk negara terhadap warganegara dari negara-negara berisiko dalam usaha berterusan untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. 

Katanya, kedua-dua suspek dibawa balik ke Putrajaya untuk tujuan saringan Covid-19 seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan sebelum dihantar ke depot untuk ditahan di bawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya lagi, suspek utama ditangkap kerana kesalahan di bawah seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan. 

“Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara maksimum 10 tahun dan hukuman sebat tidak lebih enam sebatan. 

“Seorang lagi suspek ditangkap kerana kesalahan di bawah seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba untuk memperoleh suatu pas untuk orang lain secara membuat kenyataan palsu dan di bawah seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana tanpa kuasa yang sah mempunyai dalam milikannya pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain selain dirinya,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya