BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang pekerja sambilan lelaki kerana tidak hadir bagi berdepan pertuduhan kerana menganiaya anjing peliharaannya dalam kejadian Mac tahun lalu.
Menurut jurucakap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, pihaknya dimaklumkan tertuduh yang berusia 51 tahun itu tidak hadir kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam dan mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, tertuduh memaklumkan akan menghantar wakil namun tidak kelihatan ketika prosiding kes dijalankan menyebabkan Pegawai Pendakwa Roziman Awang Tahrin memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Hakim Noor Aini Yusof kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Februari depan.
Lelaki itu dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang jika didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, anjing yang menjadi mangsa dan menjadi barang kes dibawa ke mahkamah oleh pihak JPV.
Dalam kejadian pada 16 Mac tahun lalu, tertuduh didakwa menganiaya anjing peliharaannya dengan memukul, mencekik dan melemparkan haiwan itu ke dinding hingga haiwan itu mengalami kesakitan di rumahnya di Taman Sentosa, Nibong Tebal dekat sini.
Kejadian pukul 11. 25 pagi disedari jiran tertuduh yang turut merakam video dan melaporkannya kepada JPV.
Wakil JPV ke lokasi kejadian bagi siasatan dan menyelamatkan anjing baka tempatan berwarna putih itu. – UTUSAN