Lebih 70 pekerja kilang nyaris maut akibat mendapan tanah - Utusan Malaysia

Lebih 70 pekerja kilang nyaris maut akibat mendapan tanah

KEADAAN mendapan tanah di sekitar Jalan PKPS, Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 70 pekerja dua kilang di Jalan PKPS, Kampung Bestari Jaya di sini, nyaris maut apabila kawasan berdekatan rumah penginapan mereka berlaku mendapan tanah, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, semua 70 pekerja berada di asrama dan rumah kongsi di sekitar lokasi tersebut.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa dipindahkan ke lokasi selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.51 petang.

Katanya, operasi itu disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dan Batu Arang selain polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati berlaku mendapan tanah yang dianggarkan berkeluasan 500 kali 100 meter (m) persegi dan berkedalaman 10m.

“Namun, kita mendapati tiada mangsa terlibat atau cedera dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Hafisham, perbincangan sudah dilakukan dengan polis dan pihak kilang itu dinasihatkan menghentikan operasi kilang buat sementara waktu.

“Pekerja yang tinggal di asrama dan rumah kongsi itu turut dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Bestari Jaya.

“Pemeriksaan kita setakat ini mendapati lokasi kejadian berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa meminta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian tersebut.

“Kejadian itu adalah bencana alam dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

“Semua individu yang berada di sekitar lokasi kejadian dalam keadaan selamat dan masih ditempatkan di dewan pemindahan setakat ini,” katanya.

Terdahulu, tular video dalam media sosial memaparkan kejadian itu yang kononnya didakwa ada melibatkan mangsa yang tertimbus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya