JOHOR BAHRU: Lapan daripada 17 suspek yang ditahan melibatkan serbuan dadah terbesar yang direkodkan dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), awal bulan ini berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret, di sini esok.
Sementara itu, lima suspek didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 manakala empat yang lain dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan undang-undang yang diambil terhadap ahli sindiket itu adalah bukti bahawa polis bukan sahaja menangkap dan membuat rampasan tetapi disusuli dengan tindakan undang-undang di mahkamah.
“Sebelum ini ada cakap-cakap yang mengatakan polis hanya menahan dan membuat rampasan tetapi tiada tindakan undang-undang di mahkamah diambil.
“Ini bukti bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ayob Khan turut memberitahu, siasatan polis berhubung sindiket itu masih dijalankan dan pihaknya yakin mereka yang masih bebas dapat dikesan dalam waktu terdekat.
Setakat ini, kesemua suspek yang berusia antara 17 tahun hingga 62 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan antara 8 hingga 17 Januari lalu.
Sementara itu, beliau berkata, antara lapan suspek yang berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup itu ialah ketua sindiket berusia 44 tahun dan teman wanitanya yang berusia 33 tahun.
“Sejumlah 23 serbuan dijalankan dalam operasi bermula dari 8 hingga 17 Januari itu dengan lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah dibongkar polis.
“Serbuan dadah melibatkan sindiket ini adalah sebanyak RM341 juta yang merupakan rampasan dadah terbesar dalam JSJN,” katanya. – UTUSAN ONLINE