Langkah proaktif kawal penyakit serang pokok getah - Utusan Malaysia

Langkah proaktif kawal penyakit serang pokok getah

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengambil pelbagai langkah proaktif bagi kawal jangkitan penyakit pestalotiopsis di pokok getah.

Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi memastikan pokok getah lain tidak diserang penyakit luruhan daun ketara itu selain tidak mengikut musim.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kesannya itu menyebabkan tompok berwarna coklat pada daun dan mengakibatkan pengeluaran lateks berkurangan.

“LGM sudah buat rawatan semburan racun kulat di daun dijangkiti dan beri khidmat nasihat kepada pekebun kecil bagi menghapuskan jangkitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Racun kimia itu, ujar beliau, dengan bahan kandungan aktif seperti propiconazole, benomyl, chlorothalonil, mancozeb dan propineb didapati berkesan merencatkan pertumbuhan kulat.

Katanya, Jawatankuasa Pestalotiopsis peringkat kebangsaan ditubuhkan tahun lepas bagi menyelaraskan tindakan secara menyeluruh bagi kawalan penyakit dan permasalahan berkaitan.

Ia turut disertai Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jabatan Pertanian, Jabatan Kimia, Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil, Persatuan Pemilik Estet Malaysia dan sebagainya.

“Penyakit ini dikesan LGM sejak 2017 dan sehingga Disember lalu, seluas 18,813 hektar diserang di seluruh negara kecuali Pulau Pinang, Perlis dan Sabah,” katanya..

Jelas beliau, penyakit itu turut menyerang negara pengeluar lain seperti Indonesia yang melibatkan 387,000 hektar, Thailand (122,530 hektar), Sri Lanka (20,000 hektar) dan India (300 hektar).

Beliau memberi jaminan bahawa kementerian itu menerusi LGM dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan akan terus berusaha bagi pengawalan penularan penyakit berkenaan.

Katanya, pekebun boleh menghubungi pejabat LGM yang berdekatan atau mengajukan sebarang pertanyaan mengenai isu tersebut kepada e-mel [email protected]. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya