Laluan Gua Musang-Lojing ditutup kerana tanah runtuh - Utusan Malaysia

Laluan Gua Musang-Lojing ditutup kerana tanah runtuh

JALAN Gua Musang-Lojing di Kilometer 92 ditutup kepada semua jenis kenderaan selepas berlaku tanah runtuh dari lereng bukit yang turut mengakibatkan banjir lumpur di laluan tersebut. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Lojing di Kilometer 92, di sini ditutup kepada semua jenis kenderaan selepas berlaku tanah runtuh dari lereng bukit yang turut mengakibatkan banjir lumpur di laluan tersebut serta kawasan berhampiran. 

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati, kenderaan dari Gua Musang menghala ke Cameron Highlands, Pahang atau Ipoh, Perak terkandas kerana timbunan tanah, bongkah batu dan sisa kayu menutup laluan di kedua-dua arah.

Dua buah kenderaan turut rosak dan tersadai dalam kejadian itu manakala semua pengguna jalan raya terpaksa berpatah balik kerana laluan tersebut tidak mempunyai sebarang lencongan atau jalan alternatif.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian runtuhan dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.30 petang semalam susulan hujan lebat di kawasan itu.

“Dua kenderaan terbabit dilaporkan rosak akibat dihanyutkan lumpur namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana pemandu kedua-dua kenderaan sempat keluar menyelamatkan diri. 

   “Salah satu kenderaan terbabit yang menghala ke Gua Musang rosak teruk dan tersangkut di sebatang besi penghadang jalan dan hampir menjunam ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Choon Foo berkata, sepanjang dua kilometer jalan di kawasan itu turut dipenuhi sisa lumpur dan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.

“Kami berharap pengguna jalan raya mematuhi arahan pihak berkuasa serta berhati-hati dan tidak membahayakan diri dengan cuba menggunakan laluan berlumpur itu .

“Kejadian bukit runtuh ini tidak membabitkan kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya.

Berdasarkan laporan terkini dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR), hujan lebat berterusan mengakibatkan struktur tanah lereng bukit di sekitar laluan itu tidak kukuh lalu runtuh dan seterusnya menjadi banjir lumpur. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya