Laku lebih 80 biji burger sehari - Utusan Malaysia

Laku lebih 80 biji burger sehari

WAN Kharizal Wan Azmin menyediakan burger untuk pelanggan di Taman Intan, Arau, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Mengetahui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan, Wan Kharizal Wan Azmin, 45, pada mulanya resah dan susah hati memikirkan nasib perniagaan burgernya merosot seperti semasa PKP tahun lalu.

Namun keadaan berlaku sebaliknya, selepas hampir seminggu PKP dilaksanakan di negeri ini, perniagaan burger yang diusahakan di hadapan rumah di Jalan Taman Intan di sini cukup laris.

Malah jualan burger itu lebih banyak daripada hari-hari biasa sebelum ini.

Setiap hari khususnya sepanjang tempoh PKP, dia mampu menjual lebih 80 biji burger dengan kebanyakannya menerusi perkhidmatan penghantaran makanan dan penghantaran sendiri ke rumah pelanggan khususnya di sekitar Arau.

“Alhamdulilah, perniagaan burger agak laris meskipun pada awalnya saya risau apabila PKP dilaksanakan. Tidak sangka pula, PKP kali ini membawa lebih rezeki kepada saya.

“Lazimnya pada hari biasa, burger terjualsekitar 50 biji sahaja namun dalam tempoh PKP ini mencecah sehingga 80 biji. Hasil daripada jualan burger ini sekurangnya mampu menambah pendapatan saya dalam menjalani kehidupan seharian,” kata pemilik gerai Kaduk Burger itu kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Menurut bapa kepada dua anak berusia 10 tahun hingga 13 tahun itu, antara menu istimewa di gerainya itu ialah burger kambing, ikan, rojak burger selain menu biasa seperti burger ayam serta daging.

Wan Kharizal memberitahu, dia menjalankan perniagaan burger secara sambilan itu sejak lima tahun lalu bagi membantu menambah pendapatan dalam keadaan ekonomi semakin mencabar.

“Mungkin ada hikmah untuk peniaga kecil-kecilan seperti saya ketika pelaksanaan PKP kali ini. Ada sesetengah peniaga yang terkesan dalam tempoh PKP ini, malah ada juga peniaga yang mampu menjana pendapatan dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN