Kutipan cukai MBJB tahun lalu merosot - Utusan Malaysia

Kutipan cukai MBJB tahun lalu merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kutipan hasil cukai yang diperoleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada tahun lalu merosot dengan hanya RM293 juta dipungut berbanding 2019.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, jumlah itu merosot sebanyak lima peratus berbanding dua tahun terdahulu iaitu sebanyak RM309 juta.

Kata beliau, hasil bukan cukai melibatkan kutipan sewa, lesen dan kompaun juga menurun 28 peratus pada tahun 2020 iaitu RM76.4 juta berbanding RM105.94 juta dikutip pada 2019.

“Secara keseluruhannya, jumlah hasil MBJB yang dikutip pada tahun 2020 mencatatkan kemerosotan sebanyak sembilan peratus berbanding 2019 iaitu RM403.27 juta kutipan pada 2020 berbanding RM443.99 juta dikutip pada 2019.

“Ini menunjukkan terdapat kemerosotan hasil yang dikutip sebanyak RM40.72 juta ekoran pandemik Covid-19 melanda seluruh negara pada tahun lalu,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB, di sini semalam.

Beliau yang membentangkan laporan prestasi Belanjawan MBJB tahun 2020 itu turut memberitahu, bagi prestasi perbelanjaan pula, RM218.71 juta dibelanjakan untuk tujuan mengurus yang menyaksikan penurunan 7.23 peratus berbanding 2019.

“Bagi perbelanjaan pembangunan pula, sejumlah RM169.77 juta dibelanjakan iaitu peningkatan 9.8 peratus berbanding 2019.

“Secara keseluruhannya jumlah perbelanjaan bagi tahun lalu adalah RM388.48 juta iaitu penurunan 0.5 peratus berbanding 2019,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Adib Azhari berkata, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan pada 13 Januari lalu, Jabatan Penguatkuasaan MBJB telah menjalankan sejumlah 7,109 pemeriksaan.

“Pemeriksaan ini melibatkan premis perniagaan, pasar raya, pejabat, penjaja, rumah ibadat, tempat riadah dan lain-lain lagi.

“Daripada jumlah itu, 54 buah premis tidak mematuhi peraturan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan dengan 40 daripadanya diberi notis pemberitahuan manakala 14 yang lain diarahkan tutup.

Selain itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Kerja Awam MBJB akan mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk melaksanakan pembaikan lorong belakang di sekitar kawasan Bandar Baru Uda.

Pihaknya berharap usaha untuk mengindahkan lorong belakang kawasan perumahan itu turut diperluaskan ke kawasan lain melalui kempen-kempen yang efektif agar mendapat sokongan penuh masyarakat setempat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN