IPOH: Saban tahun, Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh dekat sini, tidak pernah sunyi daripada dikunjungi ratusan ribu penganut beragama Hindu bagi meraikan perayaan Thaipusam.
Bagaimanapun, kemeriahan perayaan sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan tersebut berbeza tahun ini di kuil yang berusia lebih 100 tahun itu ekoran pandemik Covid-19.
Tinjauan di pekarangan kuil itu semalam mendapati, ia lengang kerana penganut beragama Hindu tidak dibenarkan hadir melainkan hanya kira-kira 20 ahli jawatan kuasa dan petugas dibenarkan berada di dalamnya untuk melakukan upacara sembahyang.
Beberapa anggota polis dilihat berada di luar pekarangan kuil berkenaan memantau keadaan bagi mengelakkan berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Pengerusi kuil, M. Vivekanda berkata, situasi itu walaupun menyedihkan namun mereka akur dengan keputusan kerajaan sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.
Katanya, ramai penganut beragama Hindu meluahkan rasa kecewa dan sedih kerana tidak dapat melakukan upacara keagamaan termasuk menyempurnakan nazar masing-masing.
“Selepas lebih 50 tahun, ini kali kedua perayaan Thaipusam disambut suram di kuil yang berusia lebih 100 tahun ini selepas perintah darurat 1969.
“Siapa sangka, kita berdepan dengan situasi sama sekali lagi. Harap-harap wabak ini cepat reda dan kita boleh menyambut perayaan ini dengan meriah tahun depan,” katanya ketika ditemui di pekarangan kuil itu semalam.
Menurut Vivekanda, ahli jawatan kuasa mengambil inisiatif mengadakan Facebook live bagi membolehkan penganutnya mengikuti upacara sembahyang yang diadakan di kuil berkenaan.
Katanya, video secara langsung itu dikongsi sejak pukul 7 pagi hingga upacara selesai pada pukul 10 pagi di Facebook rasmi mereka Ipoh Kallumalai & Buntong Mariamman Temple.
“Setiap tahun sambutan di sini memang meriah. Biasanya dikunjungi lebih 500,000 pengunjung bukan sahaja penganut beragama Hindu malah orang ramai termasuk pelancong asing.
“Hari ini berbeza sangat, suasana lengang. Di dalam kuil pun hanya sekitar 20 orang dibenarkan iaitu ahli jawatan kuasa, petugas dan pemuzik,” katanya.
Sementara itu, seorang guru, S. Panimalar, 32, berkata, setiap tahun dia dan keluarganya berjalan kaki sejauh lima kilometer ke kuil untuk sembahyang dari rumah mereka di Silibin.
“Tahun ini seperti kehilangan sesuatu, rasa sedih sangat kerana tidak dapat melakukan rutin berjalan kaki, sembahyang di kuil dan sempurnakan nazar.
“Hari ini saya dan adik datang menaiki kereta dan hanya berdiri di luar pagar. Apabila lihat kuil dari jauh, saya rasa seperti mahu menangis,” katanya.
Bagi C. Gemini Ganesan, 56, rutin setiap tahun dia bersama keluarga ke kuil tersebut untuk mencukur rambut sebagai menyempurnakan nazar.
“Tahun ini walaupun tidak dapat buat, saya tetap hadir ke kuil dengan hanya duduk di luar pagar,” katanya. – UTUSAN ONLINE