Kubis tiada permit bernilai RM23,690 dirampas  - Utusan Malaysia

Kubis tiada permit bernilai RM23,690 dirampas 

KUBIS seludup yang dirampas di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat, Selangor, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Cubaan sebuah syarikat tempatan menyeludup kubis seberat 2,500 kilogram dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat di sini, Khamis lalu.

Pengarahnya, Dr. Tarmisal Alimin berkata, semua sayuran bernilai RM23,690 yang berada dalam sebuah kontena itu dirampas kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati kubis tersebut dipercayai dari Indonesia.

“Kubis yang dibawa masuk sebuah syarikat ini  tidak mempunyai sebarang permit import sah yang dikeluarkan Maqis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tarmisal, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan  hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan terus diperluas di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian,” ujarnya.

Katanya, langkah itu bagi memastikan tumbuhan, haiwan, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak penyakit serta bahan cemar.

“Selain itu, kita mahu memastikan semua pihak mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya