Kilang jahitan 'kantoi' beroperasi, dakwa buat PPE - Utusan Malaysia

Kilang jahitan ‘kantoi’ beroperasi, dakwa buat PPE

SEORANG pegawai Jabatan Kesihatan memeriksa seterika di ruang pembuatan baju harian yang masih panas di sebuah kilang baju di IKS, Jasin, Melaka. - UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Cubaan pengusaha sebuah kilang menjahit pakaian menipu penguat kuasa mendakwa hanya beroperasi menyediakan pakaian perlindungan diri (PPE) gagal selepas ‘kantoi’ berikutan seterika di ruang pembuatan baju harian didapati masih panas.

Dalam serbuan bersepadu diketuai pasukan polis dari Ibu pejabat Daerah (IPD) Jasin itu, kilang yang terletak di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) Jasin berkenaan dikenakan kompaun dan diarahkan tutup serta-merta pada pukul 12.30 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, pengusaha kilang cuba mengaburi kesalahan dengan menunjukkan PPE yang sedang disiapkan, namun pemeriksaan lanjut mendapati seterika di ruang pembuatan baju harian masih dalam keadaan panas.

“Penghasilan PPE ini tidak memerlukan ia digosok, jadi sudah tentulah seterika ini digunakan bagi pembuatan pakaian harian yang turut dijalankan di kilang ini.

“Kita mengenakan kompaun dan mengarahkan kilang ini ditutup serta-merta sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau mengikut sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Serbuan itu turut disertai Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohd. Nasrul Menhat.

Menurut Mispani, ketika disoal siasat, pengusaha itu juga tidak dapat menjawab persoalan membabitkan seterika tersebut sebelum mengakui kesalahan dilakukan.

Dalam pada itu, sebuah kilang pakaian di kawasan sama dikenakan tindakan selepas didapati menjalankan operasi seperti biasa dengan kira-kira 200 pekerja sedang melakukan kerja-kerja menjahit pakaian, termasuk pakaian sekolah.

“Dua hari lalu, kita memberi amaran kepada kilang-kilang ini agar tidak menjalankan operasi, namun mereka masih berdegil dan kita tidak berkompromi terhadap kesalahan yang melanggar SOP.

“Kita juga mengeluarkan kompaun terhadap sebuah pasar raya selepas mendapati masih menjual pakaian termasuk baju sekolah di tingkat dua premis berkenaan,” katanya.

Jelasnya, kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dengan kadar denda sebanyak RM1,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya