Ketum 1,150 kilogram bernilai RM35,000 dirampas - Utusan Malaysia

Ketum 1,150 kilogram bernilai RM35,000 dirampas

POLIS Padang Besar merampas 650 kilogram daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran berhampiran View Point Wang Kelian, Kaki Bukit,Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Permintaan semakin tinggi terhadap daun ketum di Thailand kebelakangan ini dipercayai menjadi punca aktiviti penyeludupan barangan terlarang itu kembali aktif dan meningkat meskipun kawalan ketat di sempadan negara.

Hal demikian dapat dilihat dengan kejayaan polis Padang Besar mematahkan cubaan menyeludup 1,150 kilogram daun ketum dengan anggaran nilai RM35,000 ketika serbuan pada Khamis lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Saifudin Aslin Abbas berkata, dalam serbuan semalam, pihaknya merampas daun ketum dengan anggaran berat 650 kilogram bernilai kira-kira RM20,000 serta menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 21 tahun berhampiran View Point Wang Kelian, Kaki Bukit.

Katanya, semasa anggota menjalankan tugas rondaan kira-kira pukul 5.30 petang, mereka terserempak dengan sebuah kereta Perodua Alza berwarna biru dalam keadaan mencurigakan dan mengekorinya hingga dipintas sebelum diarahkan berhenti.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut penuh dengan muatan plastik berwarna hitam berisi daun ketum yang dianggarkan seberat 650 kilogram. Tangkapan dibuat ke atas suspek bersama barang rampasan termasuk kereta yang kemudian dibawa balik ke balai polis Padang Besar

“Kawalan ada dilakukan pihak berkuasa dan setakat ini tiada sebarang perubahan pada operasi atau penguatkuasaan yang kita buat. Melihat kepada trend sekarang ini, kami perketatkan lagi pengawasan dan penguatkuasaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya turut mengagalkan cubaan menyeludup 500 kilogram daun ketum bernilai RM15,000 berhampiran kawasan perumahan Felda Rimba Mas, Khamis lalu.

Menurutnya, anggota dari cawangan Kereta Peronda (MPV) terserempak dengan sebuah kereta di Jalan Semadong dalam keadaan mencurigakan pada pukul 11.45 malam, sebelum dipecut laju ke arah Padang Besar apabila dikejar oleh anggota tersebut.

Jelasnya, selepas meminta bantuan dengan kereta peronda lain yang berada berdekatan Felda Rimba Mas, kenderaan suspek terus memecut dan meluru ke kawasan perumahan Felda Rimba Mas sebelum meloloskan diri ke arah hutan getah yang gelap.

“Hasil pemeriksaan lanjut kita menemukan 50 bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat 500 kilogram,” ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum empat tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya