Kesan kemusnahan akibat kuari merebak ke pantai - Utusan Malaysia

Kesan kemusnahan akibat kuari merebak ke pantai

KEADAAN bukit yang membawa air tanah merah ke laut akibat aktiviti kuari Hutan Simpan Segari Melintang di Beruas. - IHSAN KUASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kesan kemusnahan alam sekitar akibat kegiatan kuari yang tidak mematuhi syarat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di Hutan Simpan Segari Melintang di Beruas dikesan merebak ke Pantai Teluk Akuan yang terletak berhampiran.

Pantai yang turut menjadi lokasi pendaratan penyu untuk bertelur itu kini tercemar dengan kesan tanah yang turut mengakibatkan pesisirnya dikelilingi warna keruh tanah.

Perkara itu didedahkan Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (Kuasa) yang memasuki kawasan itu semalam untuk merakam keindahan alam dan turut berkongsi video dron, gambar serta video keadaan kawasan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Kuasa, Noor Asmady Ahmad Radzuan berkata, dia terkejut melihat rakaman dron dan mendapati anak sungai di selatan Teluk Akuan kini berwarna merah dipercayai kesan akibat daripada aktiviti manusia.

“Di kawasan pantai juga terdapat tanah tanah merah yang mengalir ke laut. Kami masuk ke dalam ikut laluan anak sungai mendapati tanah merah terhakis dan memasuki serta memenuhi sebahagian hutan simpan hingga mengakibatkan sesetengah kawasan, terdapat pokok yang mati akibat timbunan tanah merah dari bukit di kompartmen 22.

“Tanah merah ini kemudian terdampar di pantai selatan Teluk Akuan memasuki laut. Punca tanah merah kemungkinan besar daripada aktiviti manusia di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari Melintang,” katanya dalam satu kenyataan..

Beliau turut berkongsi apa yang ditemuinya semalam di laman Facebooknya bagi memberikan kesedaran kepada semua betapa perlu menjaga alam sekitar daripada terus dimusnahkan.

Ismadi berkata, apa yang dibimbangkan adalah fungsi Pantai Teluk Akuan yang selama ini menjadi kawasan persinggahan nelayan berlindung ribut dan mengambil air bersih dari air terjun berhampiran akan terjejas.

Katanya, walaupun tidak begitu dikenali, tetapi kawasan itu ada peranannya yang terdiri dan dikhuatiri akan mengikibatkan kemusnahan lain jika tidak segera ditangani.

“Pantai Teluk Akuan ini adalah salah satu pantai pendaratan penyu pada suatu masa dulu, bahkan nelayan yang bawa kami mengakui penyu masih mendarat di sini dan ia menjadi pantai riadah penduduk terutamanya keluarga nelayan yang turun ke laut,” katanya.

Ismadi berkata, pendedahan Kuasa itu bukan mahu mencari salah mana-mana pihak, sebaliknya untuk menekankan betapa semua pihak perlu sama-sama memainkan peranan memastikan alam sekitar terus terpulihara dan tidak musnah akibat sifat tamak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan di lokasi.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul ketika dihubungi turut mengesahkan sudah menghantar sepasukan pegawai ke lapangan selepas dimaklumkan pagi ini.

“Pegawai JAS, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geologi Perak serta pegawai dari pejabat Exco negeri akan ke lapangan bagi menjalankan siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya