Kes pecah rumah pemilik berada di Singapura meningkat - Utusan Malaysia

Kes pecah rumah pemilik berada di Singapura meningkat

DZULKHAIRI MUKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kes pecah rumah melibatkan kediaman yang ditinggalkan kosong oleh pemilik yang bekerja di Singapura semakin meningkat setelah ia menjadi sasaran kumpulan penjenayah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak lapan kes dilaporkan membabitkan mangsa yang masih berada di Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Justeru kata beliau, pemilik rumah di daerah ini yang bekerja di Singapura dinasihat memaklumkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri atau komuniti kepolisan setempat selain memberitahu kepada jiran atau ahli keluarga yang lain untuk menjaga rumah mereka.

Tambahnya, langkah itu membolehkan pihak bertanggungjawab mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat rondaan cegah jenayah secara berkala di kawasan kejiranan.

“Sepanjang 1 hingga 19 Januari lalu, sebanyak lapan kes pecah rumah dilaporkan di IPD Iskandar Puteri yang majoritinya membabitkan rumah mereka yang ditinggalkan kosong kerana bekerja di Singapura.

“Bagi statistik pada tahun lalu, sebanyak 15 kes dilaporkan yang mana suspek menyasarkan rumah yang ditinggalkan pemilik tanpa berpenghuni,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, daripada lapan kes pecah rumah tahun ini, tujuh tangkapan dilakukan iaitu lima disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta manakala dua lagi di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, bagi meningkatkan kesedaran umum, pihaknya membuat kempen selain hebahan di platform media sosial mengingatkan mereka yang meninggalkan rumah untuk jangka masa panjang seperti bekerja di Singapura untuk memaklumkan kepada komuniti setempat atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Selain itu, pemilik rumah juga boleh meminta tolong jiran tetangga untuk menjaga dan memerhatikan rumah mereka ketika sedang berada di negara jiran.

“Polis membuat rondaan tetapi tidak berada di kawasan perumahan sepanjang masa. Jadi, setidak-tidaknya jiran boleh membantu memastikan keadaan rumah tidak kelihatan seperti rumah tidak berpenghuni dengan keadaan tidak terurus dan pamplet penuh berlonggok diletakkan di pintu pagar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya