REMBAU: Sebuah kereta terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 2 Jalan Chengkau-Astana Raja, Kampung Nerasau, dekat sini, pagi tadi.
Penghuni rumah berkenaan, Maimon Jagal, 66, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, dia sedang menyiapkan makanan untuk bersarapan bersama keluarga sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
Katanya, dia segera membuka pintu rumah dan melihat sebuah kereta terbalik dengan bahagian enjinnya berasap selain anjung atap rumahnya runtuh.
“Mujur kemudian ada orang awam yang berhenti memecahkan cermin kereta dan membantu seorang perempuan yang sudah agak berusia keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Maimon, rumah kepunyaan ibu mentuanya itu sudah berusia lebih 40 tahun dan sepanjang tempoh berkenaan sudah empat kali berlaku kejadian kereta terbabas dan merempuh rumah berkenaan.
“Saya baru menetap di kampung ini setahun lalu bagi menjaga ibu mentua yang berusia 80-an. Saya difahamkan kejadian terakhir berlaku kira-kira 15 tahun lepas.
“Dua kali juga atap runtuh dirempuh kenderaan tapi apa yang penting kali ini saya dan orang awam yang lain dapat menyelamatkan satu nyawa daripada terperangkap di dalam kenderaan berasap berkenaan,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan dari Pedas ke Semerbok dibawa ke hospital berdekatan bagi rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE