MELAKA: Kerajaan akan segera menambah jumlah pengambilan Pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sebelum ini kementeriannya telah memohon penambahan seramai 1,122 Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat.
Beliau berkata, susulan daripada itu, sejumlah 377 pengambilan pegawai berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada Jumaat lalu.
Katanya lagi, proses pengambilan akan diperceparkan namun dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama melibatkan keselamatan anak-anak.
“Daripada jumlah 1,122 permohonan dibuat, seramai 208 Pegawai Pelindung dan 169 Pegawai Akhlak telah diluluskan pada dua hari lalu.
“Kita akan minta supaya pengambilan dimulakan segera dan Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) juga mempunyai calon-calon yang telah ditemu duga lebih awal untuk mengisi keperluan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga angkat kanak-kanak lelaki yang maut selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di inap desa Kampung Sungai Putat, Batu Berendam di sini semalam (Ahad).
Mengulas lanjut, Rina memaklumkan, setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai seramai 264 Pegawai Pelindung Kanak-Kanak dan 200 Pegawai Akhlak di seluruh negara.
Ujarnya, langkah menyegerakan pengambilan itu juga merupakan salah satu respons kementerian susulan kejadian menyayat hati dilalui kanak-kanak tersebut yang mesra dengan panggilan ‘Adik’.
Jelasnya lagi, mana-mana keluarga yang berhasrat untuk mengambil anak angkat perlu merujuk terlebih dahulu dengan JKM untuk urusan dokumentasi yang berkaitan dengan perundangan bagi memudahkan urusan berkaitan pada masa hadapan.
“Sekiranya kita mempunyai anak yang terpalit dengan sesuatu isu atau yang berkaitan dengan persekitaran atau masalah kekeluargaan, kita (pegawai pelindung terbabit) akan selesaikan kerana (tugasannya) bukan (berkaitan) masalah di depan mata saja, tetapi (dibuat secara) holistik.
“Saya tidak mahu kejadian menyayat hati seperti yang berlaku kepada Adik dan keluarga angkatnya terjadi lagi pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN