Kerajaan digesa beri tumpuan tangani isu penderaan kanak-kanak

Kerajaan digesa beri tumpuan tangani isu penderaan kanak-kanak

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk segera memperkukuhkan usaha bagi melindungi kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan media bersama, pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu mengajak agar orang ramai terus memanfaatkan platform khidmat pesanan ringkas (SMS) Majlis Keselamatan Negara untuk melaporkan kes penderaan.

“Semasa kami mentadbir, perkhidmatan Talian Kasih telah diperluaskan kepada aplikasi WhatsApp dan kami bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) serta pelbagai syarikat korporat bagi mempromosi nombor kecemasan ini.

“Manfaatkan platform SMS MKN untuk meningkatkan kesedaran komuniti dan mempromosikan nombor Talian Kasih bagi melaporkan kes penderaan,” katanya baru-baru ini.

Kenyataan media tersebut disiarkan berikutan berita kematian seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang ditemui mati di dalam sebuah tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam di beberapa anggota badan yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.

Terdahulu, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pernah mengambil inisiatif mempromosi nombor kecemasan bagi melaporkan kes penderaan di lebuh raya, rangkaian farmasi, mengiklankannya di Google, dalam perkhidmatan bas, MRT dan LRT, syarikat telekomunikasi, papan iklan malah sehingga ke 35 lokasi melibatkan 282 panggung wayang di seluruh negara.

Selain itu, beberapa cadangan yang turut diketengahkan termasuk menambah bilangan Pelindung Kanak-kanak dan menambah baik kursus pra-perkahwinan dengan merangkumkan topik mengenai tanggungjawab ibubapa.

“Tambah bilangan Pelindung Kanak-Kanak dan berikan latihan dari semasa ke semasa kepada pegawai yang sedia ada selain menambah baik kursus pra-perkahwinan dengan mewajibkan topik keibubapaan untuk mengelakkan ibu bapa daripada mengabaikan tanggungjawab mereka.

“Sebelum ini, usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan dilakukan dengan memperluaskan kursus keibubapaan oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan melancarkan Direktori Perkhidmatan Keluarga sebagai ‘one stop centre’ yang memberikan khidmat sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Bagi menyelamatkan keadaan, pihak kerajaan dan KPWKM digesa untuk memberikan tumpuan sewajarnya dalam usaha menjamin keselamatan kanak-kanak.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan negara, malah ia turut menjejaskan institusi kekeluargaan kita.

“Kami menggesa agar Kerajaan PN dan KPWKM khususnya, untuk kembali fokus kepada isu keselamatan kanak-kanak kerana merekalah nadi dan penentu masa depan negara kelak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya