Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi peruntuk RM300,000 bantuan mangsa banjir - Utusan Malaysia

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi peruntuk RM300,000 bantuan mangsa banjir

MOHD. Khairuddin Aman Razali menyampaikan bantuan tilam berasaskan kenaf kepada mangsa banjir di Temerloh, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah RM300,000 diperuntukkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan agensi-agensi di bawahnya bagi bantuan kepada mangsa banjir.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, inisiatif di bawah Misi Bantuan Prihatin Mangsa Banjir itu kali ini digerakkan di kawasan antara yang terjejas teruk iaitu Temerloh, Pahang.

Beliau berkata, berdasarkan Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), sebanyak 117 keluarga dengan 392 mangsa masih berada di sembilan Pusat Pemindahaan Sementara (PPS) di sekitar daerah berkenaan daripada keseluruhan 1,775 keluarga dan 6,148 mangsa di seluruh negeri itu.

Katanya, sumbangan berkenaan melibatkan sebanyak 230 unit tilam termasuk yang berasaskan kenaf bernilai hampir RM40,000 selain barangan keperluan lain kepada 230 keluarga yang terjejas di Kampung Mempateh, Lanchang di Temerloh.

“Tilam kenaf berkenaan adalah sumbangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dalam usaha mempromosikan barangan kenaf sebagai salah satu produk komoditi yang mempunyai masa hadapan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan itu di Pasti Darul Ansar, Lanchang yang turut dihadiri
Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd. Salleh dan wakil Pegawai Daerah Temerloh.

Mohd. Khairuddin berkata, bah besar kali ini sebahagian besar mangsa adalah dalam kalangan petani dan pekebun kecil getah serta sawit.

Katanya, sebanyak empat misi seumpamanya sudah disempurnakan sebelum ini iaitu di Raub, Chenor, Kemaman di Terengganu dan Kluang di Johor sepanjang minggu lalu.

Jelas beliau, misi kemanusiaan kementerian itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu rakyat yang ketika ini ditimpa musibah di negeri-negeri yang terjejas.

“Kementerian turut merancang untuk melancarkan misi bantuan pasca banjir apabila semua mangsa bencana itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Marilah sama-sama kita berdoa supaya Allah SWT segera mengakhirkan segala musibah dan bencana yang sedang dihadapi negara termasuk pandemik Covid-19 agar segala perancangan untuk meningkatkan dan memajukan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya